Bahasa Jiwa Bangsa

Monday 15 December 2014

Perkongsian maklumat.

Kaedah Terus

Kaedah terus beranggapan bahawa murid-murid dapat mempelajari bahasa dengan cara mendengar pelbagai perbualan dalam bahasa sasaran dan kemudian melibatkan diri dalam perbualan tersebut. Hal ini berlaku sebagaimana kanak-kanak belajar bahasa ibunda mereka, iaitu dengan cara mendengar, meniru dan mengulangi perlakuan bahasa yang mereka dengari sehinggalah mereka dapat membentuk satu kelaziman dalam berbahasa. Pengajaran bertutur melalui kaedah ini memperlihatkan beberapa ciri yang ketara, antara
lain:

(a) murid digalakkan memahami perkataan dan frasa yang sukar berdasarkan konteks penggunaan bahasa tersebut;

(b) sekiranya murid gagal juga memahami perkataan dan frasa tersebut, guru akan menghuraikan makna dengan menggunakan bahasa sasaran, lukisan, lakaran, lakonan, gerak laku dan lain-lain;

(c) aspek tatabahasa diajar melalui tunjuk cara dan contoh-contoh yang sesuai;

(d) murid dilatih membuat kesimpulan terhadap bentuk-bentuk struktur yang dipelajari secara induktif, dan

(e) guru bahasa perlu menggunakan pengetahuan linguistik bagi mengajar sebutan dan intonasi yang betul.


Berdasarkan ciri-ciri di atas itu, langkah-langkah pengajaran guru bolehlah ditetapkan seperti berikut:

(a) Guru akan memperdengarkan kepada murid satu perbualan mudah yang mengandungi ayat-ayat yang sempurna.

(b) Murid dilatih untuk berbual dengan menggunakan dialog perbualan yang diberi.

(c) Guru menggunakan teknik latih tubi bagi memastikan murid dapat menguasai sebutan dan intonasi serta dapat menyerapkan peraturan nahu yang terdapat pada pola-pola ayat dalam perbulan tersebut.

Kelebihan kaedah terus, murid boleh menguasai kemahiran bertutur dengan baik . Mereka juga terlibat secara aktif dalam pertuturan. Kaedah ini dianggap berjaya, jika murid dapat mempraktik atau mengguna kan kemahiran berbahasa yang diajarkan itu di luar bilik darjah.

Kelemahan kaedah terus terletak pada bahan pengajarannya. Bahan-bahan pengajaran yang digunakan oleh guru dalam kaedah ini merupakan bahan yang boleh dihafaz ataupun bahan perbualan yang telah ditetapkan. Bahan-bahan seperti ini mungkin tidak sesuai digunakan dalam situasi perbualan yang lazim digunakan dalam sesuatu masyarakat.



Kaedah Terus

Kaedah Terus  - Kemahiran Mendengar




            Kaedah ini telah diperkenalkan oleh Michell West dan Harald Palmer (1920-1935). Kaedah ini mengutamakan prinsip-prinsip mengajar berdasarkan psikologi kanak-kanak. Selain itu kaedah terus mempunyai persamaan dengan kaedah askar dan diplomat semasa Perang Dunia Kedua.   Tujuan kaedah ini adalah membolehkan kanak-kanak menguasai keempat-empat kemahiran bahasa secara berkesan dan membolehkan mereka menggunakan bahasa yang dipelajari dalam mesyurakat dan persekitarannya. Kaedah ini juga sangat sesuai digunakan dalam pengajaran bahasa kedua dan boleh disampaikan melalui empat asas iaitu (i) perhubungan secara langsung antara perkataan dengan benda atau ayat dengan fikiran atau sebaliknya; (ii) pengajaran harus dikaitkan dengan pengalaman-pengalaman yang telah sedia ada; (iii) harus timbulkan perasaan ingin tahu kanak-kanak melalui soalan-soalan yang telah dirancangkan ; dan (iv) pengajaran harus berpandu kepada lunas-lunas kanak-kanak mempelajari bahasa ibunda mereka.

Kebaikan Kaedah Terus

Kaedah terus sesuai untuk mempelajari bahasa kerana mempunyai persamaan dengan cara kanak-kanak menguasai bahasa ibunda mereka dan tidak menggunakan terjemahan. Pengajaran secara terus membantu memudahkan pencapaian murid-murid dan mereka dapat mengaplikasikan bahasa itu secara aktif seterusnya membolehkan mereka bertutur dengan cepat, lancar dan fasih.

Kelemahan kaedah Terus

Kaedah terus adalah lebih kompleks berbanding kaedah lain dalam menyampaikan makna perkataan terutama sekali  perkataan-perkataan yang abstrak. Oleh yang demikian, kaedah ini mengambil masa yang lama dan memerlukan guru terlatih khas dalam menyampaikannya. Selain itu, kelemahan kaedah ini meliputi kemungkinan berlakunya penerimaan mesej yang kurang tepat dan ini menyebabkan kurang penerimaan daripada murid-murid lantas menimbulkan kekeliruan sepanjang perlaksanaan P&P.
Bahan-bahan yang digunakan dalam kaedah terus adalah berbentuk bahan-bahan yang boleh dihafaz dan perbualan yang telah ditetapkan. Justeru, kemungkinan bahan-bahan yang digunakan tidak pratikal untuk perkembangan kebiasaan yang sistematik. Kaedah ini juga memberi manfaat atau faedah kepada murid-murid yang cerdik namun tidak bagi murid-murid yang lemah.

Teknik dan Penyampaian Kaedah Terus

Proses pertama dimulakan dengan menghubungkan murid-murid terus kepada bahasa yang hendak mereka pelajari. Mereka akan diperkenalkan dengan sistem bunyi bahasa itu. Disini, sebutan penutur jati dijadikan model dan pertuturannya diikuti dan ditiru oleh murid-murid. Misalnya, murid Melayu akan bertutur dalam Bahasa Melayu kepada murid bukan Melayu supaya mereka dapat memahami serta mempelajari istilah serta perbendaharaan kata yang betul.
Seterusnya, segala makna perkataan yang kurang difahami oleh murid akan diperjelaskan oleh guru dengan cara (i) mengaitkan perkataan atau ayat dengan benda yang sebenar ; (ii) mengaitkan perkataan-perkataan atau ayat-ayat dengan gambar , rajah-rajah, lukisan dan sebagainya ; (iii) menggunakan perkataan-perkataan seperti atau yang berlawanan ; (iv) dengan menggunakan aksi atau lakonan (khusus pada kata kerja); (v) dengan cara memberikan huraian atau bercerita ; dan (vi) dengan menjelaskannya dalam ayat-ayat dan sebagainya.
Proses berikut adalah pelajaran tatabahasa diajar secara induktif. Pola-pola ayat yang hendak diajar dilatihtubi dahulu sehingga murid-murid dapat menguasainya. Kemudian, bahan-bahan bacaan yang digunakan merupakan bahan-bahan yang berkaitan dengan latihan lisan yang ingin dilaksanakan.

Pengaplikasian Kaedah Terus dalam Penyediaan Rancangan Pengajaran

Berdasarkan Rancangan Pengajaran Harian Bahasa Melayu yang dibina, kaedah terus merupakan kaedah pengajaran yang dipilih dalam aktiviti ini. Seperti sedia maklum kaedah terus membantu penguasaan keempat-empat kemahiran bahasa murid-murid serta disampaikan melalui empat asas iaitu 
(i) perhubungan secara langsung antara perkataan dengan benda atau ayat dengan fikiran atau sebaliknya;
(ii) pengajaran harus dikaitkan dengan pengalaman-pengalaman yang telah sedia ada;
(iii) harus timbulkan perasaan ingin tahu kanak-kanak melalui soalan-soalan yang telah dirancangkan ; dan
(iv) pengajaran harus berpandu kepada lunas-lunas kanak-kanak mempelajari bahasa ibunda mereka.


Menerusi langkah 1, kaedah terus diaplikasikan yang mana dalam langkah ini guru berbual dan bersoal jawab dengan murid mengenai ‘ Suasana Kampung’ .Kemudian, murid diberi peluang menceritakan pengalaman mereka berada di kampung. Antara contoh soalan yang diajukan meliputi :
·         Apa yang anda dapat lihat ketika berada di kampung?
·         Apakah perasaan anda ketika pulang kekampung?

Berdasarkan soalan yang diajukan, murid-murid akan menjawab berdasarkan pengalaman mereka. Oleh yang demikian kaedah terus lebih praktikal untuk digunakan dalam aktiviti ini.


            Dalam langkah dua  turut menggunakan  kaedah terus yang mana murid diminta membaca teks tentang suasana kampung. Setelah selesai membaca, murid yang memegang gambar atau ayat yang diberi akan kehadapan dan menampal kertas yang telah disediakan. Disini, pemegang gambar perlu bijak menyuaipadankan gambar yang dipegang mengikut kesesuaian ayat yang didengar. Berdasarkan aktiviti ini jelas, murid berhubungan secara langsung antara perkataan dengan benda atau ayat dengan fikiran atau sebaliknya. Disamping, mewujudkan perasaan ingin tahu kanak-kanak melalui soalan-soalan yang telah dirancangkan.

Friday 5 December 2014

Teori dan Kaedah Pengajaran Penulisan BM

2.1.Teori Behaviorisme
Ia adalah teori yang merujuk kepada gerak balas yang berlaku apabila ada rangsangan daripada guru dan menghasilkan pembelajaran.  Ia dipelopori oleh Bloomfield, Edward Spir, Boss dan Brooks yang merupakan ahli bahasa dan dikaji oleh ahli psikologi seperti  Ivan Pavlov.   Ia merangkumi ciri-ciri seperti proses timbal balik rangsangan dan gerak balas, gerak balas yang berulang-ulang akan dilakukan untuk memperolehi ganjaran. Proses pembelajaran bahasa adalah proses penekanan terhadap latihan dan pengulangan yang mencorak kebiasaan.  Ia adalah proses mekanis yang memerlukan koordinasi daya mental. Ahli behaviorisme menegaskan bahasa pengajaran bahasa mestilah dimulakan dengan kemahiran lisan. 



2.2.Teori Kognitif
Teori lain yang ialah Teori Kognitif yang dipopularkan oleh Jean Piaget yang menitikberatkan perkembangan kognitif murid-murid  melalui latihan mengingat, mengekod dan menyimpan maklumat bersesuaian dengan kebolehan mental mereka.  Pendapat yang dipersetujui oleh ahli pemikiran kognitif lain seperti Robin Lakoff, D. Slobin dan Mangantar Simantunjak ini menegaskan bahawa proses ini (pembelajaran bahasa) adalah proses internal yang abstrak. 
2.3.Teori Mentalis
Ahli pemikir kognitif juga terlibat melahirkan teori mentalis yang juga dikenali sebagai Koda Kognitif atau Innatis ini.  Teori ini menegaskan bahawa bahasa adalah aktiviti mental, milik istimewa manusia yang dikurnia bersama-sama kelahirannya.    Teori ini menekankan bahawa pengetahuan bahasa, penafsiran makna seseorang dilahirkan oleh proses di dalam otak dan saraf. Murid-murid mesti diajar dengan ayat yang gramatis, iaitu yang sempurna menurut hukum hakam tatabahasa kerana ia memainkan peranan penting dalam proses pembentukan ayat.Kemahiran membaca dan menulis adalah keutamaan dan kemahiran tatabahasa pula hendaknya diajar secara formal.

2.5 Teori Interaksionalisme
Teori lain yang turut terlibat di dalam proses pengajaran ialah teori interaksionalisme.       Teori ini meletakkan pembelajaran bahasa sebagai komponen wacana dan melibatkan mental dan linguistik.  Mark Halliday menegaskan bahawa kebolehan pembelajaran bahasa tidak boleh bergantung sekadar kepada kebolehan kognitif semata-mata. 
Ini kerana, menurut beliau, kemahiran kognitif hanya membolehkan murid-murid mentafsir makna tetapi belum tentu pentafsiran itu boleh dilahirkan di dalam bentuk bahasa yang sewajarnya tanpa bantuan linguistik.
Teori ini menitikberatkan aktiviti komunikasi di mana penyampaian makna adalah subjek utama di dalam proses pembelajaran dan pengajaran bahasa.  Ia menekankan bahawa latihan berterusan harus diberikan kepada murid-murid agar mereka memperolehi kekuatan mempelajari struktur bahasa dan interaksi agar dapat menggunakan bahasa dengan fasih dan lancar.

2.6 Teori Konstruktivitisme
Teori terakhir yang dibincangkan ialah teori konstruktivisme.    Teori ini juga berputik daripada pandangan kognivitisme iaitu pengetahuan manusia dibina secara aktif oleh manusia itu sendiri melalui daya pemikirannya.  Segala maklumat yang diterima oleh murid-murid akan diserap dan disesuaikan dengan maklumat sedia ada untuk membentuk storan baru di dalam fikirannya.


3.Kaedah-Kaedah Yang Digunakan dalam Pengajaran Penulisan
Kamus Dewan mentakrifkan kaedah sebagai cara atau aturan  dalam melakukan sesuatu.  Dapatlah dikatakan bahawa kaedah adalah seperangkat tindakan sistematik yang menepati prinsip dan tatacara yang telah dipersetujui untuk dilaksanakan demi mencapai sesuatu visi.  Sharifah Alwiah Alsagof (1986) memperincikan kaedah mengajar sebagai peredaran ke arah satu tujuan pengajaran yang telah dirancang dengan teratur.  Secara amnya, segala apa tindakan yang dilakukan guru, bahan-bahan yang digunakan untuk memberi kefahaman kepada murid-murid untuk mencapai objektif pengajaran dikatakan kaedah seperti pendapat Hassan Langgulung (1981), kaedah ialah jalan mencapai tujuan.
Seperti yang dinyatakan di atas, sehingga kini tiada kaedah standard atau rigid terhadap proses pengajaran penulisan atau bahasa di sekolah.  Ia menjadi fleksibel mengikut keupayaan murid-murid, situasi dan latar belakang mereka.  Justeru, guru-guru mempunyai peluang untuk menggunakan mana-mana kaedah yang dirasakan sesuai asal sahaja tidak melanggar kriteria-kriteria di bawah;
3.1.1Menepati visi dan misi sukatan pelajaran Bahasa Melayu KBSR dan KSSR
3.1.2.Seiring dengan objektif pengajaran dan pembelajaran yang telah digariskan
3.1.3.Berpadanan dengan keupayaan murid-murid berlandaskan pemerhatian terhadap tabiat dan latar belakang,dan umur.
3.1.4.Kaedah juga harus berpadanan dengan keupayaan, pengalaman dan kepakaran guru itu sendiri. 
3.1.5.Pengaplikasian kaedah tersebut dapat dilaksanakan di dalam rancangan masa yang ditetapkan.
3.1.6.   Harus bersesuaian dengan kemudahan yang ada seperti prasarana dan peralatan Teknologi Maklumat dan Komputer.
Kaedah-kaedah pembelajaran yang akan dibincangkan adalah praktis yang dilaksanakan mengikut kesesuaian elemen-elemen yang telah digariskan di atas.  Kesemuanya memerlukan kebijaksanaan guru untuk menganalisis dan mengenalpasti kaedah terbaik yang harus diaplikasikan sebagai sarana pengajaran untuk mencapai objektif yang telah digariskan.  Di antara kaedah-kaedah yang sedia ada  ialah kaedah natural, kaedah terus, kaedah nahu terjemahan, kaedah oral-aural, kaedah kod-kognitif dan kaedah bahasa komuniti.  Untuk  kaedah pengajaran penulisan, hanya beberapa kaedah sahaja  yang relevan dibincangkan kerana kaedah lain lebih menjuruskan kepada kemahiran membaca dan berinteraksi. 
Untuk pengajaran penulisan kaedah-kaedah yang dikenalpasti ialah kaedah pengucapan terkawal, kaedah pengucapan bebas dan kaedah retorika.  Pengajaran penulisan berkait rapat dengan kebolehan murid-murid mengumpul dan  menganalisis dapatan, mencernanya dan seterusnya mengolah idea tersebut sehingga menjadi seperangkat kata-kata yang mempunyai makna.   Ia dikatakan aktiviti yang agak kompleks kerana memerlukan kemahiran yang rencam.   Di dalam pengajaran penulisan karangan terdapat beberapa kaedah yang popular yang telah diguna pakai di sekolah dan ada juga beberapa cadangan tentang kaedah yang boleh diterapkan untuk menghasilkan penulisan yang cemerlang.
Penulisan telah dibahagikan kepada dua oleh Zainol Ismail (2003:7)  iaitu penulisan berformat seperti surat kiriman, syarahan, ceramah, ucapan, rencana dan berita.  Manakala penulisan tidak berformat atau bebas pula adalah termasuk rangsangan bergambar, pengalaman/cerita, melengkapkan cerita, autobiografi dan peribahasa.    Salleh Mohd Akib di dalam Kamaruddin Hj Hussien (1988: 198) pula membahagikan penulisan kepada 3 jenis iaitu penulisan lisan, penulisan biasa dan penulisan terkawal. 
Karangan ditafsirkan sebagai proses menghasil dan menyusun ayat dengan cara yang sesuai mengikut kehendak penulisnya atau soalan ataupun orang-orang yang berkaitan dengan apa yang ditulis.  Gao Hui-Yang menegaskan bahawa;
Composition should compromise both oral dan written training in other words, children should be taught to express ideas in both spoken and written forms.

3.2.Kaedah Pengucapan Terkawal
Pincas berpendapat bahawa penulisan karangan bebas adalah proses penciptaan dan kreativiti.  Maka seharusnya ia  berbeza dengan mana-mana kaedah pengajaran saintifik yang rigid dan skema, malahan tertakluk kepada pilihan jawapan.  Jika jawapan diberikan bersalahan dengan senarai jawapan, maka ia dianggap salah dan tidak diberi markah.   Beliau berpendapat bahawa penekanan harus diberikan secara berperingkat-peringkat bermula daripada penggantian perkataan di dalam ayat yang berbeza bentuk kepada penggantian ayat –ayat di dalam perenggan.  Kaedah ini boleh juga dianggap kaedah terus di dalam pembelajaran bahasa di mana guru akan memberitahu apa yang perlu dilakukan sebelum murid dibebaskan untuk memperkembangkan istilah penggantian mereka sendiri secara bebas. 
Beliau menggariskan ciri-ciri berikut sebagai peringkat-peringkat latihan di dalam pengajaran penulisan iaitu penggunaan pelbagai leksikon dan pembentukan ayat di dalam latihan penulisan dan lisan.  Pelajar yang dibenarkan menghasilkan  tulisan hanya apabila dipastikan bahawa mereka menghargai dan memahami pelbagai tahap ciri penulisan.  Program penulisan karangan yang melibatkan penggantian pelbagai.  Pincas juga mengandaikan bahawa penggunaan bahasa adalah manipulasi  daripada corak tetap yang dipelajari daripada prosses imitasi.  Apabila ia telah difahami dan dipelajari secara konsisten, barulah terhasil keaslian  dalam variasi.

3.3.  Kaedah Pengucapan Bebas
Eramus (1960) menggariskan beberapa ciri kaedah pengucapan bebas seperti murid-murid digalakkan menulis secara cepat dengan sedikit ulangkaji.  Kaedah ini menekankan latihan yang banyak sepanjang penulisan pelajar  dan keutamaan terhadap kuantiti ini menjadikan hasil penulisan pelajar lebih sempurna kerana murid-murid sentiasa membuat latihan.    Beliau lebih menitikberatkan aspek kuantiti dengan hujah bahawa kuantiti adalah proses penambahbaikan dari masa ke semasa untuk mendapatkan hasil tulisan yang cemerlang.
Beliau menghujahkan lagi bahawa metod ini akan menguatkan pemahaman bahasa pelajar dengan pengalaman membetulkan kesilapan dan penemuan perkataan-perkataan baru yang akan menambah kepelbagaian kosa kata mereka di dalam jajaran sintaksis.  Menurutnya ini hanya boleh dilakukan apabila murid-murid melalui  melahirkan hasil penulisan melalui kuantiti dan kualiti akan datang kemudian. 
Penghujahan beliau disokong oleh Chastain (1976) berasaskan pemerhatian dan kajian yang dibuat oleh Brieve di UCCA.  Melalui program tersebut, semakin banyak bahan dihasilkan, semakin berkurangan kesilapan bahasa dilakukan di dalam tulisan mereka.   Brieve mengulas bahawa sepanjang program tersebut, karangan mingguan di antara 300 hingga 500 patah perkataan dan penulisan ilmiah sepanjang 1000 patah perkataan telah diberikan kepada pelajar.  Karangan diperiksa dengan teliti dan pelajar yang menerima gred A diminta menulis semula karangan mereka.
Brieve menguatkan hujahnya dengan mengatakan bahawa terdapat pengurangan kadar kesalahan di dalam karangan tatkala kuantiti karangan yang dihasilkan meningkat.  Beliau menekankan bahawa, penekanan terhadap kuantiti akan menghasilkan kefasihan dan kejelasan terhadap kesalahan yang lepas sama seperti yang berlaku di dalam latihan matematik.
Begitupun khilaf terus berlaku kerana dikatakan tiada bukti jelas yang benar-benar menyokong hujah-hujah di atas.  Malahan, terdapat pula bukti bertentangan yang menegaskan bahasa latihan penulisan pantas untuk sesuatu topic dan ditulis sebanyak mungkin dalam satu kerangka masa yang ditetapkan dapt meningkatkan kemampuan murid-murid menyusun isi-isi dalam karangan mereka dengan lebih mudah, khususnya ketika mendepani peperiksaan. 

3.4.Kaedah Retorika
Retorika adalah merujuk kepada seni penggunaan bahasa yang menarik dan berkesan dalam melahirkan gagasan untuk memujuk  atau mempengaruhi khalayak mengenai sesuatu perkara.  Deskripsi ini dinyatakan oleh Nik Safiah dan Wan Malini.  Ia melibatkan perkara-perkara seperti penciptaan, susunan dan stail dalam penulisan.   Di antara elemen retorika yang terkenal ialah keberkesanan bentuk-bentuk prosa deskriptif, naratif, ekspositori dan argumentatif.  Kehadiran asas retorika di dalam teks boleh dirasai apabila kedapatan elemen-elemen skema berdasarkan maklumat atau isi yang boleh disusun.   Teks akan menekankan penyusunan isi yang berbeza berdasarkan perenggan-perenggan yang telah mungkin diproses melalui gaya analisis, analogi, kontras masa, falsafah dan sebagainya.  Oleh kerana ikatan tersebut, murid-murid akan terhalang daripada untuk menulis secara spontan dan memendekkan kejelasan pemikiran mereka. 
Kaplan mencadangkan pembaca menjadi sebahagian daripada komunikasi formal yang membolehkan pengembangan perenggan dibentuk melalui proses induktif dan deduktif.  Tambahan pula, kaedah ini menitikberatkan bentuk-bentuk pengembangan perenggan yang berlainan seperti yang ditegaskan Kaplan (1966) melalui Bander yang menegaskan bahawa setiap satu perenggan yang terdapat di dalam sesebuah penulisan berkecenderungan mempunyai jalinan pengembangan yang berbeza-beza seperti pengembangan selari atau pengembangan terus. 

Sebagai kesimpulannya, terhadap pelbagai kaedah yang perlu disesuaikan oleh guru-guru di dalam proses pengjaran dan pembelajaran menulis karangan dan usaha mendapatkan karangan yang cemerlang.  Guru-guru harus jelas dengan objektif dan keupayaan murid-muridnya ketika merangka sesuatu sekuen latihan yang hendak digunakan.  Terdapat kaedah yang mungkin sesuai untuk sesebuah sekolah berdasarkan latar belakang dan lokasi murid-murid serta beberapa aspek lain yang perlu diambil kira.

4.Teknik Pengajaran Penulisan
Teknik adalah seperangkat pengetahuan atau himpunan kelakuan atau cara di dalam kaedah.  Tidak terkecuali, teknik dikatakan sebagai perlaksanaan kaedah atau taktik yang digunakan oleh para guru untuk mencapai objektif pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah. Daripada Kamarudin Hj Husin & Siti Hajar Hj Abdul Aziz (1988) menegaskan teknik pengajaran ialah perlaksanaan dan perjalanan suatu organisasi yang berlaku secara nyata dan melibatkan murid-murid dan alatan pengajaran sebagai wahana  di dalam bilik darjah yang dipastikan boleh mencapai sesuatu objektif. 
Sebagai contoh, sekiranya guru-guru menggunakan kaedah pengucapan bebas di dalam pengajaran dan pembelajaran penulisan maka, teknik yang boleh digunakan oleh para guru adalah teknik pengajaran berpandu, teknik pendekatan bebas, dan teknik pendekatan proses.atau teknik-teknik yang bersesuaian bergantung keapda pengalaman, ketokohan dan kewibawaan guru sendiri. 
4.1. Teknik Pengajaran Berpandu
Teknik pengajaran berpandu  merupakan teknik yang paling popular dan digunakan dengan pengawasan guru sepenuhnya.  Boleh dikatakan teknik merangkumi latih tubi dan soal jawab ini adalah gabungan kaedah pengucapan terkawal, yang memerlukan murid-murid menghasilkan kuantiti karangan yang banyak di samping mengenalpasti kesalahan yang dilakukan semasa proses menulis itu berlangsung.   Guru akan memberikan tajuk dan dan kemahiran terpenting di dalam mengarang iaitu mengenalpasti bidang isi, organisasi dan ekspresi.  
Ketiga-tiga elemen ini dapat digunakan ketika proses menilai sesuatu penulisan.  Penting sekali, murid-murid didedahkan dengan prinsip utama bidang kepengarangan iaitu apa yang hendak dikata (isi), bagaimana menyusun apa yang dikatakan (organisasi) dan bagaimana hendak mengatakan apa yang hendak dikatakan.  (ekspresi).  Teknik ini adalah berasaskan pendekatan deduktif iaitu di mana guru-guru akan memperkenalkan, menerangkan peraturan dan seterusnya memberikan langkah-langkah untuk menghasilkan bentuk penulisan tersebut. 
 Marohaini dan Zulkifli (1997) juga telah mencadangkan agar guru memberikan penumpuan terhadap aspek penghasilan gagasan atau isi yang baik berbanding proses mengarang itu sendiri.  Tugas murid ialah menyiapkan latihan tersebut dan sebaik-baiknya dilakukan berulang-ulang untuk mendapatkan hasil tulisan yang baik dan cemerlang.   Teknik ini dinamakan teknik pengajaran berpandu di mana murid-murid akan dipandu oleh guru dan dikawal daripada melakukan kesalahan.  Pada peringkat awal, isi dan bahasa akan disediakan oleh guru dan murid-murid akan diarahkan mengisi tempat kosong atau membina ayat berdasarkan petikan gambar. 
4.2 Teknik Sumbangsaran
Selain daripada itu, bagi karangan yang berasaskan fakta atau gambar, guru-guru boleh juga mempraktiskan teknik sumbangsaran atau perbincangan yang melibatkan murid-murid sepenuhnya.  Mereka boleh dibahagikan kepada beberapa kumpulan kecil dan membenarkan murid-murid mengembangkan idea secara kolaboratif dengan pantauan guru.  Teknik yang berasaskan pendekatan bebas ini membolehkan murid-murid bebas melahirkan pendapat masing-masing secara kritis dan analitikal berdasarkan maklumat yang dibekalkan oleh guru. 
Teknik ini lebih sesuai digunakan untuk sesi pengajaran dan pembelajaran untuk tahap dua.  Pada tahap ini murid-murid diberikan kebebasan untuk menentukan hala tuju idea mereka selagi masih berpegang kepada tiga prinsip mengarang yang disebutkan di atas.    Murid-murid juga boleh memanipulasi apa sahaja bahan sama ada di luar atau di dalam bilik darjah selagi ia tidak terkeluar daripada skop penghasilan penulisan mereka.   Penulisan bentuk ini boleh dibahagikan kepada bentuk ilmiah seperti bentuk laporan, pidato, syarahan, debat yang memerlukan bantuan fakta atau penulisan kreatif dalam bentuk penceritaan.

Teknik seterusnya yang boleh dicerap masuk di dalam pengajaran dan penulisan di sekolah ialah teknik berasaskan pendekatan proses yang menitikberatkan  proses penghasilan karangan berbanding hasil.  Murid-murid akan dipantau sepenuhnya dan dibimbing secara berperingkat bermula daripada peringkat pra-penghasilan seperti membuat draf sehinggalah kepada menyusun isi, menyunting dan mengedit, membetulkan kesalahan bahasa, kosa kata, aspek gramatikal, olahan, hujah dan pelbagai lagi.  Teknik ini mungkin lebih sesuai digunakan untuk proses penulisan yang berakhir sehingga ke peringkat penerbitan.

Sebagai itlakannya, ada pelbagai teknik yang boleh digunakan di dalam pengajaran penulisan selain daripada yang disebut di atas.  Dewasa ini, dengan kecanggihan teknologi maya, guru-guru mungkin boleh memaksimumkan penggunaan gajet-gajet dengan menyelitkan teknik-teknik seperti, simulasi, permainan bahasa, soal jawab untuk variasi pengajaran penulisan yang menarik dan penting sekali menyediakan pelajar mendepani peperiksaan.   Di dalam sebuah kajian terhadap penulisan murid sekolah menengah, Faridah, Norreiny dan Raja Mohd Fauzi (2001) mendapati guru yang menggunakan pendekatan konstruktivisme yang melibatkan proses kognitif seperti perbincangan ataupun sumbangsaran boleh menambah minat murid-murid dan memberi rangsangan kepada mereka untuk menulis dengan lebih baik.


Forum 3 Kaedah Pengajaran Bahasa Melayu

Perkongsian maklumat

Forum 3 kaedah pegajaran Bahasa Melayu
Salam 1 Malaysia.
Kaedah Terus adalah satu kaedah yang mengutamakan prinsip prinsip mengajar yang berdasasarkan psikologi kanak-kanak. Kaedah ini diperkenalkan oleh Michell West dan Harald Palmer (1920-1935 ) . Kaedah ini didapati serupa dengan kaedah tentera. Kaedah ini digunakan bertujuan membolehkan kanak-kanak menguasai keempat-empat kemahiran bahasa secara berkesan dan membolehkan mereka menggunakan bahasa yang dipelajari di dalam masyarakat. Kaedah ini sesuai untuk pengajaran bahasa kedua. Segala pengajran tidak menggunakan bahasa yang telah diketahui murid-murid. Kaedah ini disampaikan berdasarkan empat asas iaitu perhubungan secara langsung antara perkataan dengan benda dan fikiran atau sebaliknya ,pengajaran harus dikaitkan dengan pengalaman sedia ada murid.  Soalan-soalan perlu dirancang supaya dapat menimbulkan perasaan ingin tahu murid. Selain itu pengajaran harus berpandukan lunas-lunas kanak-kanak mempelajari bahasa ibunda mereka  iaitu :
·         Mengutamakan bahasa lisan, kemahiran mendengar harus mendahului kemahiran bertutur.
·         Tidak menggunakan terjemahan, murid dihubungkan terus dengan bahasa yang hendak diajar.
·         Tidak mempelajari undang-undang tentang bahasa yang hendak dipelajari.
·         Mengutamakan sebutan yang betul. Kaedah ini memerlukan pengetahuan ilmu fonetik.
·         Mempelajari sesuatu secara keseluruhan. Ulangan dan pengukuhan perlu diperbanyakkan.
·         Pengajaran bermula dari mudah kepada yang susah.
            Kebaikan kaedah terus ini ialah sesuai dengan cara kanak-kanak menguasai bahasa ibunda mereka.Pembinaan  habit bahasa dapat disegerakan kerana guru tidak menggunakan terjemahan.Selain itu kaedah ini memudahkan pencapaian tingkatan semerta (automatik) bahasa dan membolehkan mereka cepat bertutur dengan lancer dan fasih.
            Walaupun begitu terdapat juga kelemahan kaedah ini iatu kaedah ini merumitkan guru untuk menyampaikan makna perkataan terutama perkataan yang abstrak, mengambil masa yang lama dan guru yang terlatih khas. Selain itu berlaku kekeliruan sepanjang pengajaran kerana kaedah ini menerbitkan makana yang kurang tepat.
Contoh pengajaran kaedah terus.
            Pelajaran bahasa dimulakan dengan cara menghubungkan murid-murid itu terus kepada bahasa yang mereka pelajari. Contohnya, pengajaran membaca dialog dengan intonasi dan sebutan yang betul. Sebelum membaca, guru perlu mengajukan persoalan tentang isi kandungan dalam dialog yang digunakan. Contoh soalan berkaitan tajuk “ Perkhemahan “. Guru boleh bertanya ;
·         Siapakah pernah berkhemah ?
·         Di manakah kamu berkehemah?
·         Apakah yang dibawa/
·         Apakah aktiviti semasa perkhemahan dijalankan/
Selepas itu ,guru perlu memperdengarkan bacaan dialo tersebut secara terus dari guru atau guru telah merakamkan dialog terlebih dulu. Murid akan berulangkali mengikut cara sebutan dan intonasi dengan betul. (  latih tubi) . Langkah seterusnya Perbincangan untuk memastikan murid faham apa yang dibaca. Akhir pengajaran murid membuat aktiviti mrnulis yang disediakan.
Terima kasih.


Selamat sejahtera.

Memang benar penerangan cikgu bahawa Kaedah terus  menyukarkan guru untuk menerangkan memahami makna perkataan tersebut.Bahan yang digunakan mungkin tidak sesuai untuk perkembangan kebiasaan pertuturan yang sistematik. Kaedah terus mungkin hanya berfaedah kepada murid-murid cerdik makna perkataan yang abstrak. Oleh itu guru perlu memberikan huraian yang jelas supaya murid dapat manakala murid yang lemah akan ketinggalan.Kaedah ini pula memerlukan bayak latih tubi. pengajaran di sekolah , masa pengajaran adalah terhad. Jadi guu perlu pastikan pengajaran yang berkesan dalam masa yang ditetapkan.Dalam


Salam 1 Malaysia.
Salah satu  asas dalam kaedah terus ialah harus menimbulkan perasaan ingin tahu  kanak-kanak melalui soalan yang dirancang. Oleh itu guru perlu menguasai kemahiran dalam membuat penyoalan. Teknik menyoal adalah penting dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Soalan digunakan untuk mendapatkan maklumat atau jawapan daripada pelajar. Ia juga berfungsi untuk membuka minda pelajara terhadap sesuatu persoalan. Guru  harus memberi perhatian terhadap teknik menyoal kerana kekerapan memberikan soalan boleh menjadi alat dan jalan untuk menghasilkan pengajran yang baik ( Groisser, 1964 : 193 )
            Secara umumnya apabila guru ingin menyoal pelajar, guru boleh  memberi soalan kepada keseluruhan kelas. Setelah memberi mereka waktu untuk memikirkan jawapan, barulah guru memilih secara rawak beberapa orang pelajar untuk menjawab soalan tersebut. Kaedah menyoal yang betul seperti ini dapat membangkitkan kecerdasan serta menggalakkan pelajar untuk berfikir.Guru dapat merangsang dan mencungkil fikiran pelajar semasa sesi soal jawab. Pada masa yang sama, guru boleh menimbulkan minat dan rasa ingin tahu pelajar semasa sesi soal jawab dijalankan.


Salam sejahtera cikgu.

Saya setuju dengan cikgu sememangnya guru boleh mengenalpasti kefahaman murid dengan meminta murid memadankan gambar dan perkataan. Seterusnya murid boleh membina ayat menggunakan perkataan dan gambar yang dipelajari. Untuk menguasai sebutan , guru boleh lakukan latihtubi menyebut perkataan baru dan ini sebagai pengukuhan kepada murid, Aktiviti mengeja perkataan tersebut juga membolehkan murid dapat membina ayat dengan betul sebelum melakukan akativiti menulis.

Wednesday 15 October 2014

Pertandingan Kawad Kaki

Terima kasih kepada guru-guru Penasihat PBSM yang memberikan kerjasama yang amat baik dalam menyediakan ahli-ahli PBSM ke pertandingan Kawad Kaki di SKSK.


TAHNIAH  ..........


Saturday 10 May 2014



 BACAAN INTENSIF
Pada peringkat ini murid dapat mengembangkan kebolehan meneliti, memaham dan mentafsir apa sahaja bahan yang dibaca dengan tepat.
Beberapa tujuan bacaan intensif adalah;
1.       Untuk membolehkan murid membaca dengan baik iaitu betul dari segi sebutan, intonasi, lancar dan tahu menggunakan tanda-tanda bacaan dengan baik.
2.       Untuk mengembangkan kebolehan mentafsir apa yang tertulis dalam bacaan itu dengan mengkaji susunan kata dalam ayat dan pengertian dalam kamus.
3.       Menilai atau mengulas isi-isi yang diperoleh daripada bahan-bahan yang dibaca.
4.       Membaca secara senyap dengan kepantasan yang sewajarnya.
5.       Mengesan, memaham dan menikmati unsur-unsur estetik dalam bahasa.
6.       Membuat rumusan atau kesimpulan daripada bahan yang dibaca dan sebagainya.
7.       Mengenal pasti laras bahasa yang berbagai-bagai.

Bacaan intensif akan menjadi lebih berkesan sekiranya guru membuat persediaan yang
rapi sebelum bacaan intensif dilaksanakan. Beberapa perkara yang perlu diberi perhatian
oleh guru ialah:
1.       Bahan bacaan intensif itu bolehlah dibincangkan bersama oleh murid dalam kelas, kadang-kadang dianalisa dan seterusnya dijadikan asas untuk latihan-latihan menulis.
2.       Aktiviti dalam kelas hendaklah ditukar setiap hari. Hari pertama misalnya, mengkaji perkataan dengan menggunakan imbuhan, hari kedua, latihan perkamusan, hari ketiga latihan meneka maksud mengikut konteks, hari keempat membaca dengan laju dan sebagainya.
3.       Murid-murid patut dibenarkan menggunakan kamus atau sebuah buku teks rujukan tatabahasa.
4.       Soalan-soalan untuk bacaan intensif boleh dipelbagaikan iaitu bentuk objektif, bentuk salah betul, bentuk lisan atau bentuk jawapan bertulis.
5.       Segala kajian harus dibuat secara mendalam.
Bacaan intensif ialah kegiatan membaca yang menuntut ketelitian dan dilakukan secara saksama yang melibatkan telaah isi dan pandangan terperinci sesuatu bahan bacaan. Dua perkara yang dilibatkan dengan bacaan insentif ini adalah membaca telaah isi dan membaca telaah bahasa. Dalam telaah isi ini, membaca teliti, membaca pemahaman, membaca kritis dan membaca idea adalah ditekankan.Bacaan intensif adalah bacaan yang pada asasnya bertujuan memperkembangankan kebolehan dalam meneliti, memahami dan mentafsir apa sahaja yang dibaca dengan tepat. Bacaan tersebut juga memberi penekanan kepada kajian terhadap ciri-ciri tatabahasa, meneliti pembentukan dan penggunaan perkataan, serta pemakaian bahasa itu dalam konteks dan situasi yang berlainan.Bacaan intensif boleh juga boleh dibaca dengan pelbagai dua cara salah satunya ialah membaca pantas. Bacaan pantas adalah satu bentuk kegiatan membaca yang dilakukan dengan kadar kelajuan tertentu dan tujuannya adalah untuk menjimatkan masa. Walau bagaimanapun, membaca yang terlalu laju tidak semestinya baik. Sebaik-baiknya, kadar kelajuan membaca haruslah disesuaikan dengan apa yang dibaca dan tujuan membaca ketika itu.Membaca yang dilakukan dalam keadaan yang terlalu pantas akan menyebabkan pembaca kehilangan isi-isi penting yang diperlukan atau gagal menggarap keseluruhan konsep yang cuba diketengahkan. Walau bagaimanapun, membaca yang terlalu perlahan tidak pula menguntungkan kerana hanya akan membazirkan masa. Membaca pantas hanya boleh berlaku melalui bacaan senyap atau membaca dalam.Ini kerana dalam bacaan kuat atau bersuara, pembaca akan menurunkan keupayaan membaca mereka pada kadar kelajuan bercakap. Sewaktu membaca kuat, pembaca akan melibatkan pergerakan bibir dan lain-lain alat pengucapan manusia.Selain daripada membaca pantas keduannya ialah bacaan imbasan yang juga dikenali sebagai scanning adalah kegiatan membaca yang dilakukan secara sepintas lalu. Hal ini disebut sebagai membaca tinjauan. Biasanya.sebelum kegiatan membaca itu dilakukan, pembaca akan meneliti terlebih dahulu bahagian-bahagian buku atau apa sahaja yang harus ditelaah. Hal ini dilakukan untuk mendapatkan maklumat awal dan gambaran keseluruhan tentang buku tersebut sebelum ia menjadi pilihan untuk dibaca.Membaca sepintas lalu ini melibatkan pembaca memeriksa, meneliti indeks, melihat daftar kata yang terdapat dalam buku tersebut. Kadang kala proses melihat-lihat, memeriksa dan meneliti judul-judul bab juga dilakukan. Hal ini juga berlaku pada skema, rangka kasar buku, bahagian bibliografi, kandungan prakata, pendahuluan, sinopsis, abstrak dan sebagainya,