Bahasa Jiwa Bangsa

Friday, 5 December 2014

Teori dan Kaedah Pengajaran Penulisan BM

2.1.Teori Behaviorisme
Ia adalah teori yang merujuk kepada gerak balas yang berlaku apabila ada rangsangan daripada guru dan menghasilkan pembelajaran.  Ia dipelopori oleh Bloomfield, Edward Spir, Boss dan Brooks yang merupakan ahli bahasa dan dikaji oleh ahli psikologi seperti  Ivan Pavlov.   Ia merangkumi ciri-ciri seperti proses timbal balik rangsangan dan gerak balas, gerak balas yang berulang-ulang akan dilakukan untuk memperolehi ganjaran. Proses pembelajaran bahasa adalah proses penekanan terhadap latihan dan pengulangan yang mencorak kebiasaan.  Ia adalah proses mekanis yang memerlukan koordinasi daya mental. Ahli behaviorisme menegaskan bahasa pengajaran bahasa mestilah dimulakan dengan kemahiran lisan. 



2.2.Teori Kognitif
Teori lain yang ialah Teori Kognitif yang dipopularkan oleh Jean Piaget yang menitikberatkan perkembangan kognitif murid-murid  melalui latihan mengingat, mengekod dan menyimpan maklumat bersesuaian dengan kebolehan mental mereka.  Pendapat yang dipersetujui oleh ahli pemikiran kognitif lain seperti Robin Lakoff, D. Slobin dan Mangantar Simantunjak ini menegaskan bahawa proses ini (pembelajaran bahasa) adalah proses internal yang abstrak. 
2.3.Teori Mentalis
Ahli pemikir kognitif juga terlibat melahirkan teori mentalis yang juga dikenali sebagai Koda Kognitif atau Innatis ini.  Teori ini menegaskan bahawa bahasa adalah aktiviti mental, milik istimewa manusia yang dikurnia bersama-sama kelahirannya.    Teori ini menekankan bahawa pengetahuan bahasa, penafsiran makna seseorang dilahirkan oleh proses di dalam otak dan saraf. Murid-murid mesti diajar dengan ayat yang gramatis, iaitu yang sempurna menurut hukum hakam tatabahasa kerana ia memainkan peranan penting dalam proses pembentukan ayat.Kemahiran membaca dan menulis adalah keutamaan dan kemahiran tatabahasa pula hendaknya diajar secara formal.

2.5 Teori Interaksionalisme
Teori lain yang turut terlibat di dalam proses pengajaran ialah teori interaksionalisme.       Teori ini meletakkan pembelajaran bahasa sebagai komponen wacana dan melibatkan mental dan linguistik.  Mark Halliday menegaskan bahawa kebolehan pembelajaran bahasa tidak boleh bergantung sekadar kepada kebolehan kognitif semata-mata. 
Ini kerana, menurut beliau, kemahiran kognitif hanya membolehkan murid-murid mentafsir makna tetapi belum tentu pentafsiran itu boleh dilahirkan di dalam bentuk bahasa yang sewajarnya tanpa bantuan linguistik.
Teori ini menitikberatkan aktiviti komunikasi di mana penyampaian makna adalah subjek utama di dalam proses pembelajaran dan pengajaran bahasa.  Ia menekankan bahawa latihan berterusan harus diberikan kepada murid-murid agar mereka memperolehi kekuatan mempelajari struktur bahasa dan interaksi agar dapat menggunakan bahasa dengan fasih dan lancar.

2.6 Teori Konstruktivitisme
Teori terakhir yang dibincangkan ialah teori konstruktivisme.    Teori ini juga berputik daripada pandangan kognivitisme iaitu pengetahuan manusia dibina secara aktif oleh manusia itu sendiri melalui daya pemikirannya.  Segala maklumat yang diterima oleh murid-murid akan diserap dan disesuaikan dengan maklumat sedia ada untuk membentuk storan baru di dalam fikirannya.


3.Kaedah-Kaedah Yang Digunakan dalam Pengajaran Penulisan
Kamus Dewan mentakrifkan kaedah sebagai cara atau aturan  dalam melakukan sesuatu.  Dapatlah dikatakan bahawa kaedah adalah seperangkat tindakan sistematik yang menepati prinsip dan tatacara yang telah dipersetujui untuk dilaksanakan demi mencapai sesuatu visi.  Sharifah Alwiah Alsagof (1986) memperincikan kaedah mengajar sebagai peredaran ke arah satu tujuan pengajaran yang telah dirancang dengan teratur.  Secara amnya, segala apa tindakan yang dilakukan guru, bahan-bahan yang digunakan untuk memberi kefahaman kepada murid-murid untuk mencapai objektif pengajaran dikatakan kaedah seperti pendapat Hassan Langgulung (1981), kaedah ialah jalan mencapai tujuan.
Seperti yang dinyatakan di atas, sehingga kini tiada kaedah standard atau rigid terhadap proses pengajaran penulisan atau bahasa di sekolah.  Ia menjadi fleksibel mengikut keupayaan murid-murid, situasi dan latar belakang mereka.  Justeru, guru-guru mempunyai peluang untuk menggunakan mana-mana kaedah yang dirasakan sesuai asal sahaja tidak melanggar kriteria-kriteria di bawah;
3.1.1Menepati visi dan misi sukatan pelajaran Bahasa Melayu KBSR dan KSSR
3.1.2.Seiring dengan objektif pengajaran dan pembelajaran yang telah digariskan
3.1.3.Berpadanan dengan keupayaan murid-murid berlandaskan pemerhatian terhadap tabiat dan latar belakang,dan umur.
3.1.4.Kaedah juga harus berpadanan dengan keupayaan, pengalaman dan kepakaran guru itu sendiri. 
3.1.5.Pengaplikasian kaedah tersebut dapat dilaksanakan di dalam rancangan masa yang ditetapkan.
3.1.6.   Harus bersesuaian dengan kemudahan yang ada seperti prasarana dan peralatan Teknologi Maklumat dan Komputer.
Kaedah-kaedah pembelajaran yang akan dibincangkan adalah praktis yang dilaksanakan mengikut kesesuaian elemen-elemen yang telah digariskan di atas.  Kesemuanya memerlukan kebijaksanaan guru untuk menganalisis dan mengenalpasti kaedah terbaik yang harus diaplikasikan sebagai sarana pengajaran untuk mencapai objektif yang telah digariskan.  Di antara kaedah-kaedah yang sedia ada  ialah kaedah natural, kaedah terus, kaedah nahu terjemahan, kaedah oral-aural, kaedah kod-kognitif dan kaedah bahasa komuniti.  Untuk  kaedah pengajaran penulisan, hanya beberapa kaedah sahaja  yang relevan dibincangkan kerana kaedah lain lebih menjuruskan kepada kemahiran membaca dan berinteraksi. 
Untuk pengajaran penulisan kaedah-kaedah yang dikenalpasti ialah kaedah pengucapan terkawal, kaedah pengucapan bebas dan kaedah retorika.  Pengajaran penulisan berkait rapat dengan kebolehan murid-murid mengumpul dan  menganalisis dapatan, mencernanya dan seterusnya mengolah idea tersebut sehingga menjadi seperangkat kata-kata yang mempunyai makna.   Ia dikatakan aktiviti yang agak kompleks kerana memerlukan kemahiran yang rencam.   Di dalam pengajaran penulisan karangan terdapat beberapa kaedah yang popular yang telah diguna pakai di sekolah dan ada juga beberapa cadangan tentang kaedah yang boleh diterapkan untuk menghasilkan penulisan yang cemerlang.
Penulisan telah dibahagikan kepada dua oleh Zainol Ismail (2003:7)  iaitu penulisan berformat seperti surat kiriman, syarahan, ceramah, ucapan, rencana dan berita.  Manakala penulisan tidak berformat atau bebas pula adalah termasuk rangsangan bergambar, pengalaman/cerita, melengkapkan cerita, autobiografi dan peribahasa.    Salleh Mohd Akib di dalam Kamaruddin Hj Hussien (1988: 198) pula membahagikan penulisan kepada 3 jenis iaitu penulisan lisan, penulisan biasa dan penulisan terkawal. 
Karangan ditafsirkan sebagai proses menghasil dan menyusun ayat dengan cara yang sesuai mengikut kehendak penulisnya atau soalan ataupun orang-orang yang berkaitan dengan apa yang ditulis.  Gao Hui-Yang menegaskan bahawa;
Composition should compromise both oral dan written training in other words, children should be taught to express ideas in both spoken and written forms.

3.2.Kaedah Pengucapan Terkawal
Pincas berpendapat bahawa penulisan karangan bebas adalah proses penciptaan dan kreativiti.  Maka seharusnya ia  berbeza dengan mana-mana kaedah pengajaran saintifik yang rigid dan skema, malahan tertakluk kepada pilihan jawapan.  Jika jawapan diberikan bersalahan dengan senarai jawapan, maka ia dianggap salah dan tidak diberi markah.   Beliau berpendapat bahawa penekanan harus diberikan secara berperingkat-peringkat bermula daripada penggantian perkataan di dalam ayat yang berbeza bentuk kepada penggantian ayat –ayat di dalam perenggan.  Kaedah ini boleh juga dianggap kaedah terus di dalam pembelajaran bahasa di mana guru akan memberitahu apa yang perlu dilakukan sebelum murid dibebaskan untuk memperkembangkan istilah penggantian mereka sendiri secara bebas. 
Beliau menggariskan ciri-ciri berikut sebagai peringkat-peringkat latihan di dalam pengajaran penulisan iaitu penggunaan pelbagai leksikon dan pembentukan ayat di dalam latihan penulisan dan lisan.  Pelajar yang dibenarkan menghasilkan  tulisan hanya apabila dipastikan bahawa mereka menghargai dan memahami pelbagai tahap ciri penulisan.  Program penulisan karangan yang melibatkan penggantian pelbagai.  Pincas juga mengandaikan bahawa penggunaan bahasa adalah manipulasi  daripada corak tetap yang dipelajari daripada prosses imitasi.  Apabila ia telah difahami dan dipelajari secara konsisten, barulah terhasil keaslian  dalam variasi.

3.3.  Kaedah Pengucapan Bebas
Eramus (1960) menggariskan beberapa ciri kaedah pengucapan bebas seperti murid-murid digalakkan menulis secara cepat dengan sedikit ulangkaji.  Kaedah ini menekankan latihan yang banyak sepanjang penulisan pelajar  dan keutamaan terhadap kuantiti ini menjadikan hasil penulisan pelajar lebih sempurna kerana murid-murid sentiasa membuat latihan.    Beliau lebih menitikberatkan aspek kuantiti dengan hujah bahawa kuantiti adalah proses penambahbaikan dari masa ke semasa untuk mendapatkan hasil tulisan yang cemerlang.
Beliau menghujahkan lagi bahawa metod ini akan menguatkan pemahaman bahasa pelajar dengan pengalaman membetulkan kesilapan dan penemuan perkataan-perkataan baru yang akan menambah kepelbagaian kosa kata mereka di dalam jajaran sintaksis.  Menurutnya ini hanya boleh dilakukan apabila murid-murid melalui  melahirkan hasil penulisan melalui kuantiti dan kualiti akan datang kemudian. 
Penghujahan beliau disokong oleh Chastain (1976) berasaskan pemerhatian dan kajian yang dibuat oleh Brieve di UCCA.  Melalui program tersebut, semakin banyak bahan dihasilkan, semakin berkurangan kesilapan bahasa dilakukan di dalam tulisan mereka.   Brieve mengulas bahawa sepanjang program tersebut, karangan mingguan di antara 300 hingga 500 patah perkataan dan penulisan ilmiah sepanjang 1000 patah perkataan telah diberikan kepada pelajar.  Karangan diperiksa dengan teliti dan pelajar yang menerima gred A diminta menulis semula karangan mereka.
Brieve menguatkan hujahnya dengan mengatakan bahawa terdapat pengurangan kadar kesalahan di dalam karangan tatkala kuantiti karangan yang dihasilkan meningkat.  Beliau menekankan bahawa, penekanan terhadap kuantiti akan menghasilkan kefasihan dan kejelasan terhadap kesalahan yang lepas sama seperti yang berlaku di dalam latihan matematik.
Begitupun khilaf terus berlaku kerana dikatakan tiada bukti jelas yang benar-benar menyokong hujah-hujah di atas.  Malahan, terdapat pula bukti bertentangan yang menegaskan bahasa latihan penulisan pantas untuk sesuatu topic dan ditulis sebanyak mungkin dalam satu kerangka masa yang ditetapkan dapt meningkatkan kemampuan murid-murid menyusun isi-isi dalam karangan mereka dengan lebih mudah, khususnya ketika mendepani peperiksaan. 

3.4.Kaedah Retorika
Retorika adalah merujuk kepada seni penggunaan bahasa yang menarik dan berkesan dalam melahirkan gagasan untuk memujuk  atau mempengaruhi khalayak mengenai sesuatu perkara.  Deskripsi ini dinyatakan oleh Nik Safiah dan Wan Malini.  Ia melibatkan perkara-perkara seperti penciptaan, susunan dan stail dalam penulisan.   Di antara elemen retorika yang terkenal ialah keberkesanan bentuk-bentuk prosa deskriptif, naratif, ekspositori dan argumentatif.  Kehadiran asas retorika di dalam teks boleh dirasai apabila kedapatan elemen-elemen skema berdasarkan maklumat atau isi yang boleh disusun.   Teks akan menekankan penyusunan isi yang berbeza berdasarkan perenggan-perenggan yang telah mungkin diproses melalui gaya analisis, analogi, kontras masa, falsafah dan sebagainya.  Oleh kerana ikatan tersebut, murid-murid akan terhalang daripada untuk menulis secara spontan dan memendekkan kejelasan pemikiran mereka. 
Kaplan mencadangkan pembaca menjadi sebahagian daripada komunikasi formal yang membolehkan pengembangan perenggan dibentuk melalui proses induktif dan deduktif.  Tambahan pula, kaedah ini menitikberatkan bentuk-bentuk pengembangan perenggan yang berlainan seperti yang ditegaskan Kaplan (1966) melalui Bander yang menegaskan bahawa setiap satu perenggan yang terdapat di dalam sesebuah penulisan berkecenderungan mempunyai jalinan pengembangan yang berbeza-beza seperti pengembangan selari atau pengembangan terus. 

Sebagai kesimpulannya, terhadap pelbagai kaedah yang perlu disesuaikan oleh guru-guru di dalam proses pengjaran dan pembelajaran menulis karangan dan usaha mendapatkan karangan yang cemerlang.  Guru-guru harus jelas dengan objektif dan keupayaan murid-muridnya ketika merangka sesuatu sekuen latihan yang hendak digunakan.  Terdapat kaedah yang mungkin sesuai untuk sesebuah sekolah berdasarkan latar belakang dan lokasi murid-murid serta beberapa aspek lain yang perlu diambil kira.

4.Teknik Pengajaran Penulisan
Teknik adalah seperangkat pengetahuan atau himpunan kelakuan atau cara di dalam kaedah.  Tidak terkecuali, teknik dikatakan sebagai perlaksanaan kaedah atau taktik yang digunakan oleh para guru untuk mencapai objektif pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah. Daripada Kamarudin Hj Husin & Siti Hajar Hj Abdul Aziz (1988) menegaskan teknik pengajaran ialah perlaksanaan dan perjalanan suatu organisasi yang berlaku secara nyata dan melibatkan murid-murid dan alatan pengajaran sebagai wahana  di dalam bilik darjah yang dipastikan boleh mencapai sesuatu objektif. 
Sebagai contoh, sekiranya guru-guru menggunakan kaedah pengucapan bebas di dalam pengajaran dan pembelajaran penulisan maka, teknik yang boleh digunakan oleh para guru adalah teknik pengajaran berpandu, teknik pendekatan bebas, dan teknik pendekatan proses.atau teknik-teknik yang bersesuaian bergantung keapda pengalaman, ketokohan dan kewibawaan guru sendiri. 
4.1. Teknik Pengajaran Berpandu
Teknik pengajaran berpandu  merupakan teknik yang paling popular dan digunakan dengan pengawasan guru sepenuhnya.  Boleh dikatakan teknik merangkumi latih tubi dan soal jawab ini adalah gabungan kaedah pengucapan terkawal, yang memerlukan murid-murid menghasilkan kuantiti karangan yang banyak di samping mengenalpasti kesalahan yang dilakukan semasa proses menulis itu berlangsung.   Guru akan memberikan tajuk dan dan kemahiran terpenting di dalam mengarang iaitu mengenalpasti bidang isi, organisasi dan ekspresi.  
Ketiga-tiga elemen ini dapat digunakan ketika proses menilai sesuatu penulisan.  Penting sekali, murid-murid didedahkan dengan prinsip utama bidang kepengarangan iaitu apa yang hendak dikata (isi), bagaimana menyusun apa yang dikatakan (organisasi) dan bagaimana hendak mengatakan apa yang hendak dikatakan.  (ekspresi).  Teknik ini adalah berasaskan pendekatan deduktif iaitu di mana guru-guru akan memperkenalkan, menerangkan peraturan dan seterusnya memberikan langkah-langkah untuk menghasilkan bentuk penulisan tersebut. 
 Marohaini dan Zulkifli (1997) juga telah mencadangkan agar guru memberikan penumpuan terhadap aspek penghasilan gagasan atau isi yang baik berbanding proses mengarang itu sendiri.  Tugas murid ialah menyiapkan latihan tersebut dan sebaik-baiknya dilakukan berulang-ulang untuk mendapatkan hasil tulisan yang baik dan cemerlang.   Teknik ini dinamakan teknik pengajaran berpandu di mana murid-murid akan dipandu oleh guru dan dikawal daripada melakukan kesalahan.  Pada peringkat awal, isi dan bahasa akan disediakan oleh guru dan murid-murid akan diarahkan mengisi tempat kosong atau membina ayat berdasarkan petikan gambar. 
4.2 Teknik Sumbangsaran
Selain daripada itu, bagi karangan yang berasaskan fakta atau gambar, guru-guru boleh juga mempraktiskan teknik sumbangsaran atau perbincangan yang melibatkan murid-murid sepenuhnya.  Mereka boleh dibahagikan kepada beberapa kumpulan kecil dan membenarkan murid-murid mengembangkan idea secara kolaboratif dengan pantauan guru.  Teknik yang berasaskan pendekatan bebas ini membolehkan murid-murid bebas melahirkan pendapat masing-masing secara kritis dan analitikal berdasarkan maklumat yang dibekalkan oleh guru. 
Teknik ini lebih sesuai digunakan untuk sesi pengajaran dan pembelajaran untuk tahap dua.  Pada tahap ini murid-murid diberikan kebebasan untuk menentukan hala tuju idea mereka selagi masih berpegang kepada tiga prinsip mengarang yang disebutkan di atas.    Murid-murid juga boleh memanipulasi apa sahaja bahan sama ada di luar atau di dalam bilik darjah selagi ia tidak terkeluar daripada skop penghasilan penulisan mereka.   Penulisan bentuk ini boleh dibahagikan kepada bentuk ilmiah seperti bentuk laporan, pidato, syarahan, debat yang memerlukan bantuan fakta atau penulisan kreatif dalam bentuk penceritaan.

Teknik seterusnya yang boleh dicerap masuk di dalam pengajaran dan penulisan di sekolah ialah teknik berasaskan pendekatan proses yang menitikberatkan  proses penghasilan karangan berbanding hasil.  Murid-murid akan dipantau sepenuhnya dan dibimbing secara berperingkat bermula daripada peringkat pra-penghasilan seperti membuat draf sehinggalah kepada menyusun isi, menyunting dan mengedit, membetulkan kesalahan bahasa, kosa kata, aspek gramatikal, olahan, hujah dan pelbagai lagi.  Teknik ini mungkin lebih sesuai digunakan untuk proses penulisan yang berakhir sehingga ke peringkat penerbitan.

Sebagai itlakannya, ada pelbagai teknik yang boleh digunakan di dalam pengajaran penulisan selain daripada yang disebut di atas.  Dewasa ini, dengan kecanggihan teknologi maya, guru-guru mungkin boleh memaksimumkan penggunaan gajet-gajet dengan menyelitkan teknik-teknik seperti, simulasi, permainan bahasa, soal jawab untuk variasi pengajaran penulisan yang menarik dan penting sekali menyediakan pelajar mendepani peperiksaan.   Di dalam sebuah kajian terhadap penulisan murid sekolah menengah, Faridah, Norreiny dan Raja Mohd Fauzi (2001) mendapati guru yang menggunakan pendekatan konstruktivisme yang melibatkan proses kognitif seperti perbincangan ataupun sumbangsaran boleh menambah minat murid-murid dan memberi rangsangan kepada mereka untuk menulis dengan lebih baik.


No comments:

Post a Comment